Wednesday, 17 February 2010

Ahli akademik sambut baik kurikulum baru BI

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Ahli-ahli akademik menyifatkan keputusan Kementerian Pelajaran memperkenalkan kurikulum baru Bahasa Inggeris mulai tahun depan sebagai baik sejajar dengan keperluan semasa.

Bagaimanapun mereka pada masa yang sama berharap agar pelaksanaannya dilaksanakan dengan serius supaya ia tidak menjadi satu lagi program eksperimen.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Tiun Ling Ta berkata, beliau menyambut baik keputusan ini tetapi pada masa sama berharap agar pelaksanaannya tidak hanya berlaku sekerat jalan sahaja.

''Saya percaya program ini akan berjaya kerana kerajaan juga akan mengambil guru pakar dari Britain dan Australia untuk membimbing guru tempatan yang mengajar Bahasa Inggeris,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan kurikulum baru Bahasa Inggeris mulai tahun 2011 seperti yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Selain itu, kementerian juga akan mengambil 365 guru pakar Bahasa Inggeris dari luar negara bagi membolehkan mereka mengajar dan mendidik guru tempatan.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sapora Sipon dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpendapat, langkah itu akan membolehkan murid-murid meneroka potensi diri dalam subjek bahasa kedua.

Bagaimanapun kata beliau, yang penting adalah penekanan kaedah dan metodologi pengajaran yang berkesan supaya supaya murid tidak rasa terbeban, cepat belajar dan tidak jemu.

Katanya, langkah kerajaan mengambil guru pakar Bahasa Inggeris dari luar negara dilihat sebagai positif kerana pengalaman dan pengetahuan mereka ini akan dapat dimanfaatkan oleh guru tempatan.

Ketua Pusat Pusat Penghayatan Sejarah (Impak) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam pula mahu kerajaan menumpukan pelaksanaan keputusan ini kepada murid-murid di luar bandar yang telah dikenal pasti lemah dalam subjek berkenaan.

''Dahulukan mereka ini supaya kali ini mereka tidak tercicir dari keputusan yang mahu dilaksanakan kerajaan walaupun tinggal jauh di kawasan pedalaman,'' katanya.

Selain itu, Ramlah juga mahukan guru pakar dari luar negara ini terlebih dahulu didedahkan dengan adat dan budaya negara ini serta masyarakatnya yang berbilang kaum.

Beliau kata, ini penting supaya guru-guru itu nanti tidak membawa budaya kuning kerana pemikiran anak-anak kecil yang masih mentah begitu mudah untuk dipengaruhi.