Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan CIMB, Ung Su Ling berkata, peruntukan itu akan diagih-agihkan ke semua sekolah angkat yayasan berkenaan bagi menjayakan pelbagai aktiviti di bawah program tersebut.
Katanya, jumlahnya lebih besar berbanding tahun lalu RM780,000, sekali gus membuktikan komitmen yayasan berkenaan dalam membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar di luar bandar.
''Di bawah program itu tahun lalu, kita telah melancarkan projek perintis program penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan menyumbang komputer di dua buah sekolah masing-masing di Perlis dan Kelantan.
''Hasil program itu, pelajar dari kedua-dua sekolah yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah menunjukkan peningkatan sebanyak 80 peratus.
''Melalui kejayaan itu, Yayasan CIMB memperluaskan program ICT ke Sekolah Kebangsaan Jelutong hari ini dan turut menyumbang sebanyak 45 komputer baru," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas pelancaran program penguasaan ICT di SK Jelutong dan penyerahan replika cek tajaan komputer dan langganan portal pendidikan Tutor yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah CIMB Bank, Datuk Seri Stephen Yeap Leong Huat.
Turut hadir, Ketua Sektor ICT Jabatan Pelajaran Negeri, Tan Hock Lee dan Pengurus Kanan Pemasaran dan Pembangunan Perfisio Solutions Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat Kumpulan Utusan, Mohd. Yusni Abdul Ghani.
Program penguasaan ICT itu turut menjalin kerjasama dengan Kumpulan Utusan menerusi langganan portal pendidikan Tutor untuk dimanfaatkan secara percuma oleh murid-murid sekolah terlibat selama setahun.
Su Ling berkata, pihaknya juga sudah menyediakan sebanyak 210 buah komputer untuk diedarkan kepada baki tujuh buah sekolah angkat yayasan itu secara berperingkat-peringkat bermula bulan depan.
Dalam pada itu, Mohd. Yusni berkata, melalui portal Tutor, para pelajar dapat mengikuti peperiksaan percubaan secara dalam talian yang bakal mempunyai 170,000 soalan tahun ini.
"Kita berharap semua murid yang terlibat akan mendapat pelbagai manfaat menerusi program ini dan pada masa sama meningkatkan pengetahuan mereka dalam penggunaan ICT," katanya.

Murid-murid tahun enam SK Jelutong teruja melihat portal Tutor untuk UPSR selepas majlis pelancaran Program Penguasaan ICT di SK Jelutong di Pulau Pinang, semalam.