Monday, 15 March 2010

Biasiswa untuk bakal guru

ELS Malaysia menawarkan biasiswa berjumlah RM90,000 dan pekerjaan segera sebagai Pengajar Bahasa Inggeris sebaik tamatnya program latihan kepada pelajar tahun akhir program ijazah TESL/TESOL.

Naib Presiden ELS Malaysia, Bahagian Operasi, Robert Brander berkata, di bawah program ini, pelajar akan diberi biasiswa sejumlah RM4,500, latihan selama 3 bulan dan sekali gus diserap sebagai pengajar Bahasa Inggeris di Pusat Bahasa ELS Malaysia sebaik tamatnya tempoh latihan.

Katanya, pemohon yang berjaya akan dibekalkan dengan pendidikan teori dan latihan praktikal untuk menjadi guru Bahasa Inggeris yang lebih efektif. Mereka juga akan menjalani kursus Program Sertifikasi Guru ELS (ELS Teacher Certification Programme) yang akan memberi latihan intensif untuk menjadi pengajar yang lebih efisien dan berkesan.

Menurut Brander, program ini akan dikendalikan oleh tenaga pengajar ELS yang amat berpengalaman dan dikelolai oleh Unit Latihan dan Kurikulum ELS.

“Kami amat berbesar hati untuk menawarkan biasiswa-biasiswa ini kepada pelajar yang menuntut program ijazah TESL/TESOL dengan tujuan memberi latihan yang secukupnya untuk bakal guru dan peluang perkerjaan segera untuk generasi muda pengajar Bahasa Inggeris di negara ini,” jelasnya.

Program ini dibuka kepada penuntut tahun akhir program TESL/TESOL di mana-mana institut pendidikan tinggi negara. Kriteria seleksi meliputi prestasi akademik, surat rekomendasi dan temu duga dengan barisan pengajar di ELS Malaysia.

“Melalui program ini kami berhasrat untuk menghasilkan bukan sekadar guru Bahasa Inggeris malahan pendidik yang berkualiti tinggi, dan seterusnya mampu menjadi pemimpin dan inspirasi kepada para pelajar. Program ini juga dapat memberi peluang kepada mereka untuk membuat perubahan positif dalam industri pendidikan negara ini” tambah beliau.

Dahulu program ini dikenali sebagai Program Latihan ELS-TESOL, kini menjadi Biasiswa Program Latihan ELS-TESOL Tun Mahathir. Ia sebagai dedikasi untuk menghormati warisan bekas Perdana Menteri keempat Malaysia dan usahanya dalam merintis penekanan Bahasa Inggeris di negara ini.

Menyahut saranan penekanan unsur K-ekonomi dan pengembangan tenaga manusia oleh pemimpin negara, Pusat Bahasa ELS Malaysia berazam untuk menjadi peneraju dalam melatih dan mengembangkan bakat golongan yang bakal menjadi tonggak utama dalam arena pendidikan pada masa hadapan.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1990, ELS Malaysia yang menawarkan pelbagai kursus Bahasa Inggeris telah diiktiraf sebagai pusat yang mempunyai taraf pendidikan berkualiti tinggi dalam usahanya untuk mengajar Bahasa Inggeris dan melatih guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris.

Tahun ini, ELS Malaysia menawarkan 20 Biasiswa Program Latihan ELS-TESOL Tun Mahathir di mana ia dibahagikan kepada dua sesi pengambilan pelajar. Sesi pengambilan pertama akan bermula pada Jun tahun ini. Para penuntut institusi pengajian tinggi yang berminat dalam program biasiswa ini boleh memohon melalui laman web ELS Malaysia iaitu www.els.edu.my atau menulis kepada info@els.edu.my. Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Mei 2010.