
KOTA BELUD 4 Dis. - Kira-kira 576 daripada 9,600 sekolah yang telah diaudit di seluruh negara dikenal pasti amat kritikal dan perlu dinaiktaraf segera.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, usaha menaik taraf sekolah berkenaan akan dilaksanakan awal tahun depan melibatkan peruntukan awal sebanyak RM500 juta.
"Sebanyak enam peratus daripada 9,600 buah sekolah yang diaudit jawatankuasa fizikal pengauditan sekolah di seluruh negara berada dalam kategori kritikal.
"Kita berharap pada tahun hadapan akan dapat peruntukan awal sebanyak RM500 juta," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanamun di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Muhiddin Yusin; Guru Besar SK Nanamun, Alkesah Bidin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanamun, Pinjaman Hassin.
Pada majlis itu, Puad turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membina bangunan baru menempatkan enam bilik darjah di SK Nanamun.
"Mesej yang saya terima daripada Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bersetuju untuk membina bilik darjah baru SK Nanamun ini yang diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya.
Menurutnya, usaha menaik taraf sekolah-sekolah terbabit akan melibatkan pembinaan bilik darjah dan rumah guru yang dikategorikan sebagai amat kritikal.
Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini pihak kementerian telah memulakan usaha menaik taraf asrama pelajar melalui peruntukan RM50 juta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Sebanyak RM20 juta daripadanya diberikan untuk Sabah, RM20 juta untuk Sarawak dan RM10 juta untuk Semenanjung bagi menaik taraf asrama-asrama usang yang dikategorikan amat kritikal," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 45 projek pembinaan sekolah di negara ini dikenalpasti sebagai 'projek sakit'.
"Kalau hendak dibandingkan dengan kira-kira 17,000 projek kita, maka 45 projek sakit ini memang kecil tetapi kita tidak pandang ringan dan ambil tindakan seperti menyenarai hitam kontraktor terbabit," ujarnya.