Friday, 24 December 2010

Muhyiddin bangga prestasi PMR


LAWAS 23 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa bangga berikutan dengan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.65 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Keputusan peperiksaan itu yang diumumkan hari ini merupakan yang terbaik dalam tempoh empat tahun sekali gus menunjukkan prestasi pelajaran di negara ini semakin baik tahun demi tahun.

Muhyiddin yang diminta mengulas keputusan itu turut berasa bangga kerana pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan.

''Apa yang membanggakan ialah antara lain pencapaian hampir semua pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains subjek teras mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan kerja dua hari di Limbang dan Lawas Sarawak.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas keputusan PMR yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd.Ghafar Mahmud di Putrajaya.

Muhyiddin berkata, keputusan kali ini jika diterjemahkan menunjukkan satu pencapaian membanggakan untuk semua sekolah.

Beliau juga membangkitkan mengenai jurang prestasi pelajaran pelajar-pelajar luar bandar dengan pelajar-pelajar di bandar yang perlu dirapatkan.

''Kita juga nak lihat jurang prestasi luar bandar dan bandar dirapatkan. Walaupun sedikit sebanyak ada penambahbaikan, namun masih ada lagi jurang,'' jelas beliau.

Dalam hal ini, kerajaan katanya akan terus memberi perhatian supaya prestasi pelajar di luar bandar dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik lagi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran turut mengingatkan sekolah-sekolah yang tidak mencatatkan keputusan yang baik supaya melakukan sesuatu.

''Kita (kementerian) nak lihat jika sekolah yang tidak mencatat kemajuan dan kita akan pergi lihat apakah sebabnya ia tidak berjaya,'' tegas beliau.

Tambah Muhyiddin, dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) terdapat program meningkatkan kejayaan sekolah dan sekolah yang didapati tidak berjaya, akan dikaji supaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.