
PUTRAJAYA 15 Dis. - Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Ferringhi, Pulau Pinang muncul juara cabaran robotik, Battlebot anjuran Yayasan Pintar apabila menewaskan lebih 30 sekolah lain dalam satu pertandingan di sini hari ini.
Dengan kemenangan itu, wakil sekolah tersebut, Ahmad Fahmi Adenan, 11, dan Muhammad Khairul Ansarullah Ridzuan, 10, masing-masing membawa pulang trofi, sijil, dua keping tiket penerbangan ke Bali, produk permainan Lego, hamper produk vitamin serta basikal.
Kejayaan itu turut membolehkan SK Batu Ferringhi menerima cek bernilai RM3,000 untuk penganjuran aktiviti yang berkaitan dengan pengembangan kreativiti dan inovasi murid.
Dalam pada itu, SK Jalan Matang Buluh, Perak terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib johan selepas kalah 2-0 kepada SK Batu Ferringhi manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh SK Seberang Ketil, Kedah dan SK Cheng, Melaka di tempat keempat.
Cabaran Battlebot mengkehendaki para peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah menghasilkan robot menggunakan alat permainan dan teknologi Lego.
Robot yang direka oleh murid berkenaan seterusnya akan 'bertempur' dengan robot pasukan lawan dan robot yang berjaya ditolak keluar daripada gelanggang dianggap kalah.
Cabaran Battlebot merupakan sebahagian daripada projek amal anjuran Yayasan Pintar yang dianggotai oleh syarikat korporat termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi pelajar di sekolah angkatnya.
Pengerusi Yayasan Pintar, Tan Sri Arshad Ayub berkata, pada masa ini, sebanyak 33 buah syarikat korporat telah menerima 212 sekolah di seluruh negara sebagai sekolah angkat mereka.
''Sekolah angkat kita terdiri daripada sekolah pelbagai aliran dan program yang dianjurkan telah menjadi saluran yang efektif untuk memperkenalkan semangat 1Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis penutup pertandingan itu di sini.
Beliau berkata, pada tahun depan, Yayasan Pintar akan menumpukan kepada aktiviti advokasi di kalangan murid-murid sekolah-sekolah angkatnya.
''Program pada tahun depan yang bertemakan Pembinaan Sahsiah - Membuka Hati, Memperkasa Minda akan memfokus kepada advokasi dalam beberapa bidang seperti pemeliharaan alam sekitar, nutrisi dan kebersihan.
''Saya berharap lebih banyak syarikat akan menyertai kita supaya lebih banyak program yang bermanfaat dapat dianjurkan," katanya.