KOTA TINGGI 9 Feb. – Impian Abdul Maliki Usman, 12, dari Kampung Changi, Teluk Ramunia, Pengerang dekat sini untuk bersekolah seperti kanak-kanak lain akhirnya tercapai.
Kedatangan Abdul Maliki ke sekolah semalam disambut bukan sahaja oleh guru malah rakan-rakan sekelas yang ternyata gembira menerima ‘kawan’ baru mereka itu.
Walaupun nampak gementar, namun Abdul Maliki yang bercita-cita menjadi seorang tentera dapat menyesuaikan diri dengan cepat.
Tinjauan Utusan Malaysia ke Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia di sini mendapati Abdul Maliki dimasukkan ke kelas Tahun Satu sebagai langkah awal pemulihan berikutan telah lama tidak bersekolah.
Guru Besar, A. Hamid Hussain yang ditemui berkata, pada permulaan Abdul Maliki akan diberi pendedahan pendidikan mengikut tahap kesesuaian dan pencapaian secara berperingkat-peringkat bermula dari kelas Tahun Satu terlebih dahulu.
“Dari situ kami akan melihat dan menilai tahap kefahaman dan keupayaan murid ini sebelum ke peringkat seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Samion Kassim yang melawat sekolah berkenaan nyata berpuas hati dengan prestasi awal Abdul Maliki.
“Saya dapati Abdul Maliki ini ceria dan paling mengagumkan saya, dia begitu yakin menyesuaikan diri dengan alam persekolahan biarpun agak tertinggal jauh berbanding murid-murid lain.
“Saya akan memantau pencapaiannya menerusi laporan dibuat pihak sekolah setiap minggu bagi memastikan Abdul Maliki mampu mengejar mata pelajaran yang tertinggal,” katanya.
Beliau berharap Abdul Maliki mampu menguasai pelajaran dengan cepat berkat bimbingan dan bantuan guru-guru sekolah itu.
Nasib Abdul Maliki mula mendapat perhatian ramai apabila kisah kemiskinan keluarganya yang tidak mampu menampung persekolahannya disiarkan Utusan Malaysia pada 1 Februari lalu.
Anak bongsu daripada dua beradik itu begitu teringin untuk belajar bersama rakan-rakan sepermainannya di sekolah yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Namun Abdul Maliki yang kini sepatutnya berada pada tahun enam hanya sempat bersekolah pada tahun satu sahaja. Dia tidak mendaftarkan diri pada tahun berikutnya ekoran kesempitan hidup yang dialami keluarganya.