Wednesday, 10 February 2010

Malaysia gagal hasilkan ikon akademik

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Negara gagal menghasilkan ikon akademik yang benar-benar menonjol seperti ikon dari sektor hiburan dan sukan sehingga menyebabkan orang ramai seperti semakin hilang minat terhadap pendidikan dan ilmu pengetahuan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang menyatakan, penumpuan tinggi terhadap pengkhususan yang rumit menyebabkan tiada ikon akademik yang dapat meningkatkan minat umum untuk menjadi saintis mahupun profesor.

“Antara sebab ahli akademik terkemuka tidak dilonjak sebagai ikon pendidikan ialah disebabkan kecenderungan yang memberi terlalu banyak tumpuan kepada pengkhususan, kaedah (metodologi) dan juga menjadikan sesuatu itu (seperti laporan kajian) lebih rumit dan sukar difahami.

“Disebabkan itu, ramai anak muda yang tidak memilih untuk menjadi profesor atau saintis sebaliknya mahu menjadi doktor perubatan yang kononnya lebih berprestij,” jelasnya semasa menyampaikan syarahan sulung Siri Syarahan Anugerah Merdeka UTM di sini hari ini.

Menurut beliau, keadaan diburukkan lagi apabila ada sesetengah ahli akademik yang berbangga mengajar subjek yang tidak dapat difahami separuh pelajar dalam kelas, seterusnya menyebabkan mereka gagal dalam subjek berkenaan.

Katanya lagi, ikon akademik perlu dibentuk daripada ahli akademik dengan sahsiah diri yang tinggi dan kemudian perlu dibantu dengan memberi liputan meluas terhadap sumbangan mereka kepada dunia akademik, masyarakat dan juga negara.

Hadir sama pada sesi syarahan itu ialah Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd., wakil-wakil sektor korporat dan kerajaan, pelajar serta bekas pelajar UTM dari dalam dan luar negara.

Turut hadir, tiga karyawan tamu UTM, kartunis terkenal, Datuk Mohd. Nor Kadir atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat; Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan penulis buku Natrah, Datin Seri Fatini Yaacob.

Zaini merupakan salah seorang daripada empat penerima Anugerah Merdeka 2009 bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.

Dalam pada itu, Zaini menegaskan, pengkhususan yang melampau akan mewujudkan “budaya tunggal” atau “ilmu tunggal” yang tulen dan fokus terhadap satu perkara, tetapi tidak menghiraukan perkara atau ilmu lain.

“Kaedah ini bermula dengan pembentukan universiti penyelidikan oleh Maximilian Carl Emil Weber dari Jerman lebih 100 tahun lalu.

“Walaupun kaedah Weber itu bagus untuk pendidikan, pelaksanaannya perlu diseimbangkan dengan kaedah Imam Shafie yang menggalakkan konsep insan kamil melalui kebijaksanaan ,” ujarnya.

Jelas beliau, Weber telah memulakan sistem membayar upah kepada para profesor dan cendekiawan sementara Imam Shafie pula menegaskan pelajaran itu adalah satu tanggungjawab.

Sementara itu, beliau menyatakan pembentukan ikon akademik juga dapat dibantu melalui teori kesederhanaan tanpa perlu merumitkan sesuatu untuk kelihatan lebih “berkualiti”.

“Mengambil contoh kesukaran memantau kualiti air beribu-ribu sungai dengan menggunakan bermacam bentuk ujian yang mahal.

“Satu cara yang mudah, kita lihat jika ada ikan di dalam sungai itu! Lihat juga spesies ikan dan jika ada yang memancing di kawasan itu,” katanya.

Kaedah pemerhatian itu tegasnya, dapat menunjukkan secara kasar kualiti air sungai mahupun tasik, dan menentukan jika ada keperluan untuk melakukan ujian atau kajian lebih mendalam.

Sumber: Utusan Malaysia Online