KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Guru-guru yang bakal dihantar ke kawasan pedalaman akan dimotivasi terlebih dahulu sebagai persediaan mental dan fizikal mereka.
Untuk itu kumpulan sokongan akan diadakan bagi memotivasikan para guru terlibat menerusi program orientasi, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata kumpulan sokongan adalah terdiri daripada guru yang sedang mengajar di kawasan pedalaman.
"Tahun ini kita akan menghantar 5,292 guru ke kawasan pedalaman di mana mereka perlu disediakan dengan ketahanan mental dan fizikal.
"Seperti rawatan kepada pesakit kanser, maka kita kena minta bekas pesakit kanser sendiri untuk memberi semangat kepada pesakit yang sedang menerima rawatan bagi meneruskan kehidupan mereka," katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Puad berkata guru yang bakal dihantar mengajar di pedalaman akan dimaklumkan lebih awal tentang penghantaran mereka supaya dapat membuat persediaan awal, seperti keperluan menguruskan soal tempat tinggal.
"Kita sedia maklum dengan masalah tempat tinggal guru di pedalaman sementara kerajaan sedang berusaha untuk membina rumah guru yang lebih selesa," katanya.