Thursday, 8 April 2010

Guru Pemangkin Keselamatan Elektrik

BUTTERWORTH, 3 April (Bernama) -- Seminar kesedaran keselamatan elektrik di kalangan guru sekolah merupakan inisiatif bagi meningkatkan tahap kesedaran berkaitan elektrik di kalangan orang awam dan juga pelajar sekolah.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata ia bertujuan memberi pededahan kepada guru sebelum menyebarkan maklumat berkenaan kepada para pelajar.

"Guru merupakan model peranan dan juga agen perubahan, jadi maklumat yang diperolehi dari seminar ini akan mudah diterima oleh pelajar seterusnya boleh disampaikan kepada orang awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar kesedaran keselamatan elektrik di Dewan Seri Mutiara, Politeknik Seberang Jaya di sini pada Sabtu.

Seminar sehari anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan Kementerian Pelajaran Malaysia itu merupakan yang keempat diadakan untuk tahun ini sejak penganjuran secara besar-besaran pada 2008.

"Guru boleh menyampaikan semua maklumat berhubung keselamatan elektrik pada sesi pembelajaran dan pengajaran di sekolah ataupun ketika aktiviti sekolah," katanya.

Seminar itu dibahagikan kepada tiga modul utama iaitu 'Hazad Elektrik dan Kesan', 'Keselamatan Elektrik di Pepasangan TNB' dan 'Keselamatan Elektrik di Pepasangan Domestik'.

Ia diadakan secara berperingkat sepanjang tahun dengan melibatkan kira-kira 3,000 guru dari 10 negeri, sasaran seminar ini ialah guru sekolah rendah dan menengah yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Sains.

Setakat ini seramai 5,600 guru telah menghadiri seminar yang melibatkan 912 buah sekolah di seluruh Semenanjung manakala di Pulau Pinang, 395 sekolah menyertai seminar itu.

Sementara itu Naib Presiden Bahagian Penghantaran Wakil Pengurusan Tertinggi TNB Rozimi Remeli berkata tahap kesedaran tentang bahaya elektrik di kalangan orang awam masih rendah.

"Perkara itu disebabkan kurang kefahaman dalam pengendalian peralatan elektrik dan sikap ambil mudah pengguna terhadap elektrik," katanya.

Katanya TNB terus komited untuk memberi kefahaman kepada masyarakat agar kemalangan melibatkan penggunaan elektrik dapat dikurangkan dan pengguna akan lebih selesa tanpa gangguan mahupun kemalangan.