Bilik Komputer merupakan nadi bagi sesebuah sekolah. Menyedari kepentingan Bilik Komputer, satu gerakan bersepadu iaitu Bengkel Transformasi Bilik Komputer menjadi matlamat dan harapan PKG Seberang Jaya agar Bilik Komputer itu benar-benar dapat dimanfaatkan oleh warga sekolah. Bidang pengurusan, penggunaan, keceriaan dan aktiviti Bilik Komputer ini diberi perhatian khusus agar murid-murid khasnya menjadikan Bilik Komputer sebagai tempat untuk menimba pelbagai ilmu sebagai persediaan awal ke arah pencapaian akademik yang lebih cemerlang.
Bengkel ini dilaksanakan dengan harapan agar objektif-objektif berikut tercapai :
- Memberi khidmat nasihat dan kepakaran kepada pihak sekolah khasnya kepada Guru Penyelaras ICT dalam menguruskan Bilik Komputer sekolah secara profesional.
- Meningkatkan pengurusan Bilik Komputer secara keseluruhan khususnya dalam bidang pengurusan bahan, fizikal (susun atur dan keceriaan) serta penggunaan.
- Mengujilari capaian internet di SK St.Mark(M), Perai.
- Membaikpulih dan menyelenggara komputer dan chromebook.
- Meningkatkan penggunaan Bilik Komputer di kalangan warga sekolah selaras dengan keperluan pendidikan dan aplikasi ICT.
- Mewujudkan suasana Bilik Komputer yang lebih kondusif.




